Wednesday, October 8, 2008

SENI ROTAN




Seusai dengan perkembangan zaman, produk rotan kemudiannya telah dipelbagaikan sebagai barangan perabot dan perhiasan. Jenis rotan yang paling banyak digunakan dalam bidang ini adalah rotan batu, rotan manau dan rotan sega. Sebahagian besar hasil rotan digunakan untuk membuat perabut dan selebihnya untuk barangan hiasan tradisional seperti bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga dan sebagainya. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.

Kini, nilai kemasan rotan telah diiktiraf dan diterima oleh seluruh lapisan masyarakat di seluruh Negara. Malah, permintaan ke atas produk rotan kini telah semakin meningkat dari tahun ke tahun sehingga mendorong kepada aktiviti penanaman rotan manau secara besar-besaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain.

Hasil rotan masa kini adalah tidak terhad kepada sesuatu rekabentuk sahaja malah, ia boleh diubahsuai mengikut kehendak pasaran. Untuk itu, nilai produk rotan kini telah meningkat dan seni penghasilan produk rotan telah menjadi sebagai salah satu sumber pendapatan masyarakat di Malaysia.

Ia dikenali di seluruh dunia kerana kecantikannya yang menyerlah apabila direkabentuk menjadi perabot dan perhiasan. Sebenarnya, perusahaan rotan di Malaysia pada umumnya bersifat kecil dan tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar di mana sumber-sumber bahan mentah ini mudah diperoleh.

PRODUK BERASASKAN ROTAN












ISTIMEWANYA ROTAN







Pokok rotan adalah nama untuk sebilangan pokok palma memanjat Asia tropika daripada famili Arecaceae dan terdiri daripada jenis-jenis Calamus, Daemonorops dan Korthalsia.

Berbeza dengan kebanyakan pokok palma, daun-daun pokok rotan tidak tumbuh berumpun menjadi silara. Daun-daunnya mempunyai cangkuk yang panjang supaya memudahkan pokok-pokok rotan untuk memanjat ke dahan pokok lain. Daripada batang pokok rotan yang mempunyai panjang yang luar biasa (kira-kira beberapa ratus kaki), terdapat juga rotan komersil yang kukuh dan mempunyai diameter yang seragam.

Rotan adalah salah satu hasil tumbuhan yang banyak di Malaysia dan banyak juga terdapat di hutan-hutan Nusantara seperti di di Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Bangladesh. Di Malaysia, terdapat 104 jenis pokok rotan namun, hanya 19 peratus sahaja yang mempunyai nilai komersil. Di antara pokok rotan yang mempunyai nilai komersil adalah rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Pada zaman dahulu, rotan digunakan oleh masyarakat tempatan untuk kegunaan harian seperti membuat pondok, menangkap ikan, dan sebagai bekas makan minum.